24 March 2019, Sunday | 09:40am

MFL tak layan permintaan PAFA

2019-02-14

IPOH: Pemain The Bos Gaurus (TBG) tidak mempunyai pilihan selain harus menerima hakikat perlu bekerja keras musim ini berikutan terpaksa bertarung lebih perlawanan berbanding pasukan lain dalam Liga Malaysia.

Ia kerana juara Piala Malaysia itu terpaksa bersaing dalam kedua-dua Liga Super dan pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia susulan permintaan persatuan itu untuk diberi kelonggaran dalam jadual Liga Malaysia ditolak oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kita sudah membuat permintaan kepada MFL supaya menimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada pasukan Perak iaitu boleh `bercuti' dalam satu perlawanan (jika bertembung lebih dua perlawanan seminggu), dan digantikan pada hari lain yang ditetapkan kemudian,” kata Ahmad Faizal pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Perak.

"Tetapi permintaan ini tidak mendapat kelulusan kerana MFL juga menghadapi masalahnya sendiri dan terikat dengan jadual perlawanan yang sudah disusun lebih awal."

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, tiga perlawanan dalam tempoh seminggu adalah sesuatu yang agak memenatkan bagi pemain skuad TBG tetapi mereka harus berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan pasukan itu tidak tercicir mata dalam Liga Super serta mampu layak ke pusingan ACL seterusnya.

"Ketika menentang Kedah Jumaat lalu rasa macam nak kalah tetapi akhirnya berjaya mengutip satu mata...bersyukur kami menang perlawanan malam tadi menentang Kitchee SC, dan lusa pula bertandang ke tempat lawan menentang Kuala Lumpur," katanya.

Bagi perlawanan ACL seterusnya menentang wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai, Ahmad Faizal berkata ia bukan perlawanan yang mudah tambahan pula bermain di tempat lawan tetapi yakin dengan kemampuan TBG untuk memberi persembahan terbaik.

Dalam perlawanan penuh dramatik malam tadi, skuad TBG diheret sehingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 sebelum penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menjadi wira pasukan apabila menyelamatkan dua penalti lawan bagi membolehkan Perak mara dengan kemenangan penentuan sepakan penalti 6-5.

Sumber:BeritaHarian/https://bit.ly/2GmqUja

SumberGambar:Awani/https://bit.ly/2tlUYTu


 

Average: 5 (1 vote)

Tags: