21 June 2019, Friday | 12:24am

Masa depan cerah buat Perak – Mehmet

2019-01-08

Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic memberi bayangan pasukan bimbingannya mempunyai masa depan yang cerah berikutan prestasi yang memberangsangkan ditunjukkan anak buah terutamanya para pemain muda.

Katanya, persembahan yang ditunjukkan para pemain The Bos Gaurus itu dalam perlawanan persabahatan menentang pasukan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi sangat baik walaupun berkesudahan seri tanpa jaringan.

“Saya sangat berbangga dengan aksi yang ditunjukkan para pemain terutamanya pemain muda. Kami mengawal permainan dari awal sehingga tamat perlawanan walaupun tidak berjaya menjaringkan gol namun kami berjaya mencipta beberapa percubaan berbahaya.

“Boleh dikatakan ini sangat baik untuk Perak dan pasukan ini mempunyai masa depan yang cerah akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Tambah Durakovic, persiapan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2019 berjalan dengan baik dan beberapa perlawanan persabahatan akan diadakan sebelum saingan sebenar bermula.

Sementara itu, Pengendali PDRM, Mohd. Fauzi Pilus meluahkan perasaan puas hati melihat aksi para pemainnya di atas padang ketika menentang Juara Piala Malaysia 2018 itu.

“Perlawanan yang cukup baik untuk PDRM dan sudah tentu kami menggunakan peluang ini untuk para pemain menimba pengalaman berharga ketika menentang pasukan yang kuat seperti Perak,” katanya. - K! ONLINE

No votes yet