21 May 2019, Tuesday | 07:49am

Malaysia sasar 3 emas Muay Thai dunia di Bangkok

2019-02-19

KANGAR: Malaysia menyasarkan tiga pingat emas pada kejohanan Muay Thai dunia di Bangkok, pada bulan depan.

Presiden Muay Malaysia, Datuk Mohd Fairus Urep berkata beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan pencapaian sebelum ini yang menyaksikan negara pernah merangkul juara pada 2017 dan 2018.

“Kita yakin kali ini dapat tambah bilangan pingat kepada tiga dan sekali gus kekalkan kejuaraan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Muay Amatur Remaja 2019 di sini malam tadi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan kejohanan itu. Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Julia G Bentley.

Mohd Fairus berkata Malaysia menggunakan platform kejohanan itu bagi memilih peserta mewakili negara ke Kejohanan Muay Thai Dunia ke-16 anjuran World Muaythai Federation (WWF) pada 12 hingga 20 Mac ini.

Bagi kategori 51-54kg kejuaraan disandang oleh Ariff Suhail dari Kedah manakalala petinju tuan rumah Mohd Radzi Ismail muncul juara bagi kategori 54-57kg dan Mohd Adam dari Pulau Pinang (kategori 58-60kg).

Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu semua penggiat sukan Muay Thai terus membawa sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak hanya terhenti di sekerat jalan.

Baginda bertitah semua pihak perlu menggunakan kelebihan yang ada pada negara yang berhampiran dengan Thailand untuk mewujudkan pendekatan strategik dan program jangka panjang ke arah pembangunan sukan itu. - BERNAMA

 

No votes yet