17 June 2019, Monday | 06:08pm

Liverpool buru bintang dalam pembikinan

2019-05-13

 

LONDON - Liverpool dilaporkan merupakan destinasi paling ideal buat pemain tengah antarabangsa Jerman, Julian Brandt meskipun beberapa kelab gergasi Eropah turut bersedia mengaktifkan klausa pelepasan pemain bernilai £20 juta (RM108.10 juta) itu.

 

Wartawan berpengaruh, Raphael Honigstein melaporkan kepada ESPN bahawa pasukan The Reds dan Borussia Dortmund dilihat sebagai dua kelab yang akan bersaing mendapatkan bintang dalam pembikinan berusia 23 tahun itu.

 

Nama Brandt sebenar­nya sudah menjadi buruan banyak kelab gergasi di Eropah beberapa tahun lepas, namun pemain tersebut masih muda dan memerlukan le­bih banyak masa untuk meningkat sebagai bintang ternama.

 

Pada masa sama, Brandt yang dikatakan bernilai kira-kira £40 juta (RM216.20 juta) semakin mendapat perhatian memandangkan nilai klausa pelepasan pemain itu sudah aktif dan pastinya harga tersebut berbaloi untuk bintang sepertinya.

 

Dengan bakatnya, Brandt dikatakan memiliki peluang untuk bermain dengan mana-mana kelab terbaik malah banyak pasukan akan cuba mendapatkan khidmatnya.

 

Honigstein mendakwa, Bayer Leverkusen sangat berharap dapat memujuk Brandt untuk kekal di kelab tersebut sekurang-kurangnya bagi semusim lagi sebelum berhasrat berhijrah ke kelab lain.

 

“Namun, selepas melihat Liver­pool beraksi pada Liga Juara-Juara musim ini, agak mengejutkan jika Brandt tidak berminat dengan prospek dibimbing oleh pengurus berpengalaman seperti Jurgen Klopp.

 

“Kamu boleh bayangkan bagaimana hierarki di Bayer yang pastinya bersungguh-sungguh memujuk pemain itu agar kekal pada saingan Bundesliga.

 

“Jika Liverpool dan Dortmund merupakan destinasi paling ideal buat Brandt, maka kamu akan jangkakan mereka akan berusaha membawa pemain itu ke England,” ujar Honigstein. – Agensi

 

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2Yqy1MG

 

No votes yet