16 July 2018, Monday | 10:48am

Laporan Tahunan KWSP kini boleh dimuat turun di myEPF

2018-04-16

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini membentangkan Laporan Tahunan 2017 yang kini boleh dimuat turun daripada laman web myEPF di pautan www.kwsp.gov.my.

Laporan Tahunan ini, yang telah dibentangkan di Parlimen pada 3 April lalu, melaporkan peningkatan 6.38 peratus caruman tahunan kepada RM65.52 bilion, berbanding jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion.

Ini sekaligus mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM16.12 bilion.

KWSP turut mencatatkan kenaikan 8.26 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM791.48 bilion, berbanding RM731.11 bilion pada tahun 2016. Jumlah caruman ahli pula sebanyak RM768.51 bilion setakat 31 Disember 2017.

KWSP sebelum ini mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional melibatkan agihan dividen RM44.15 bilion, dan kadar dividen 6.40 peratus untuk Simpanan Shariah melibatkan agihan dividen RM3.98 bilion.

Secara keseluruhannya, agihan dividen untuk tahun 2017 berjumlah RM48.13 bilion, naik 29.80 peratus daripada tahun 2016.

Jumlah permohonan pengeluaran meningkat 3.84 peratus kepada 2.45 juta, di mana 2.32 juta permohonan diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM49.40 bilion melalui pelbagai skim pengeluaran.

“2017 merupakan tahun yang baik di mana KWSP buat pertama kalinya mengumumkan keputusan pelaburan dan kadar dividen bagi Simpanan Shariah," kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

"KWSP mengakhiri tahun kewangan dengan mencatat pendapatan pelaburan kasar tertinggi dengan pulangan atas pelaburan kasar (ROI) sebanyak 7.30 peratus, peningkatan 18 mata asas berbanding 2016," tambah beliau lagi.

KWSP mencatat prestasi keseluruhan yang kukuh melangkaui semua kelas aset dalam portfolio, di mana sebahagian besar didorong oleh pelaburan dalam ekuiti global yang mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang bertambah baik.

Setakat 31 Disember 2017, jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM791.48 bilion. Kelas aset ekuiti, yang merangkumi 42 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana RM31.47 bilion untuk tahun 2017. 

 

Sumber: astroAwani/ https://bit.ly/2vgBVOh

Average: 5 (1 vote)