21 May 2019, Tuesday | 08:09am

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi diiktiraf Anugerah Pemasaran Laluan Asia 2019

2019-03-15

Pada 2018, LGK mencatatkan pertumbuhan 29.9 peratus bagi aliran penumpang antarabangsa kepada 368,995 penumpang daripada 283,953 penumpang pada tahun sebelumnya. - GAMBAR HIASAN

SEPANG 15 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) menerima pengiktirafan “Highly Commended” bagi kategori ‘Penumpang Bawah 4 Juta” pada majlis Anugerah Pemasaran Laluan Asia 2019 berprestij di Cebu, Filipina, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, anugerah itu mengiktiraf program pemasaran cemerlang yang menyokong pelancaran laluan udara baharu atau pembangunan perkhidmatan sedia ada dalam pembangunan laluan dan industri penerbangan.

“LGK sentiasa giat berusaha menarik syarikat penerbangan baharu dan meningkatkan pelancongan ke pulau peranginan itu sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Azmi berkata, LGK telah menyiapkan projek pembesarannya pada September lepas, yang telah meningkatkan kapasiti lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang setahun kepada 4 juta penumpang.

Pada 2018, LGK mencatatkan pertumbuhan 29.9 peratus bagi aliran penumpang antarabangsa kepada 368,995 penumpang daripada 283,953 penumpang pada tahun sebelumnya.

Raja Azmi berkata, MAHB akan terus memperluas jaringan hubungan di LGK dengan memohon laluan penerbangan baharu dan meningkatkan kekerapan penerbangan dari destinasi utama di Eropah, Asia Tengah dan China. - BERNAMA

 

Average: 5 (1 vote)