19 May 2019, Sunday | 03:36pm

Laluan ke Olimpik makin samar

2019-04-25

MASA semakin suntuk buat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei memulakan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan apabila masih belum menyertai sebarang kejohanan kompetitif musim ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai mengakui, mereka juga masih belum mendaftarkan nama Chong Wei dalam mana-mana kejohanan selepas saingan Piala Sudirman yang berlangsung di Nanning, China bermula 19 hingga 26 Mei depan.

 

“Kami tidak boleh sahkan sama ada Chong Wei akan kembali ber­aksi sebelum tarikh itu (tarikh perlindungan ranking - 15 Ogos) atau tidak kerana buat masa sekarang, kesihatan lebih penting baginya berbanding badminton. Kita serahkan perkara ini kepada doktor yang merawatnya bagi membuat keputusan.

“BAM juga masih belum daftarkan namanya pada mana-mana kejohanan selepas Piala Sudirman. Sekiranya dia tidak mampu kembali sebelum Ogos, kami akan tetap memberi sokongan kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Lebih membimbangkan, Chong Wei mungkin terpaksa mengharungi kejohanan-kejohanan bertaraf kecil jika tidak dapat menyertai aksi kompetitif sebelum 15 Ogos nanti memandangkan perlindungan ranking yang dikuatkuasakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hanya sah selama setahun.

Perlindungan ranking itu diaktifkan ketika Chong Wei memegang status sebagai pemain No. 3 dunia selepas dia di­sahkan menghidap kanser hidung peringkat awal pada September 2018 dan dia juga tidak beraksi dalam sebarang kejohanan sejak Terbuka Indonesia Julai tahun lalu.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga mungkin terkeluar daripada senarai 100 pemain terbaik dunia hujung bulan ini memandangkan kiraan mata kelayakan ke Sukan ­Olimpik 2020 akan bermula pada Terbuka New Zealand 30 April nanti.

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2UE3Dft

 

Average: 5 (1 vote)

Tags: