26 September 2018, Wednesday | 09:59pm

Kim Swee akui masih banyak kelemahan skuad B-22

2017-12-15

Masih banyak yang perlu diperbaiki skuad B-22 menjelang Kejohanan Piala AFC B-23 2018 di China, Januari depan. — Foto AFP

SHAH ALAM, 15 Dis—Ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengakui secara keseluruhan masih banyak yang perlu diperbaiki pasukannya menjelang Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, Januari depan.

Meskipun Kim Swee sebelum ini menyifatkan pasukannya sudah hampir mencapai objektif kem latihan pusat yang bermula sejak tiga minggu lalu, namun keputusan seri tanpa jaringan yang dicatat anak buahnya pada aksi persahabatan berdepan Melaka United hari ini sedikit mencemaskan jurulatih kelahiran Melaka itu.

Mengulas mengenai perlawanan di Stadium Shah Alam itu, Kim Swee berkata barisan pertahanan skuad negara pada separuh masa pertama antara yang paling ketara menunjukkan aksi longlai apabila mudah ditebuk jentera serangan pihak lawan.

“Bahagian pertahanan masih lagi dilihat belum mencapai matlamat dan prestasi terbaik mereka. Pada separuh masa pertama kita bertahan dengan begitu longgar sehingga pemain lawan mudah membolosi untuk membuat percubaan berbahaya.

“Tetapi di separuh masa kedua, kita bertambah baik di mana ramai pemain muda yang diturunkan menunjukkan kesungguhan. Secara keseluruhan masih banyak yang perlu diperbaiki dan lawan kita selepas ini pasti lebih mencabar terutama pada saingan Piala AFC nanti,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Pada aksi persahabatan itu, Kim Swee membariskan 11 pemain utama yang sebahagian besarnya pernah beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sebelum menukar kesemuanya dan digantikan dengan 11 pemain yang hampir keseluruhannya dibarisi pemain muda.

Penjaga gol negara, Ifwat Akmal Chek Kassim antara pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang pada perlawanan tersebut selepas berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya selain bertindak berani merebahkan diri untuk menidakkan peluang keemasan pasukan lawan pada hujung babak pertama.

Sementara itu, Kim Swee berkata beliau masih belum memutuskan tiga pemain yang akan digugurkan sebelum berlepas ke Korea Selatan pada Sabtu ini sebagai persiapan terakhir sebelum mengharungi kempen Kejohanan Piala AFC.

“Masih ada masa untuk saya berbincang dan mengenal pasti dengan teliti siapa calon yang akan digugurkan. Kita ada banyak perlawanan di Korea Selatan mahupun di China di mana saya ingin melihat beberapa lagi kombinasi di bahagian tengah dan pertahanan,” ujarnya.

Pada masa sama, Kim Swee optimis mampu mendapatkan beberapa perlawanan persahabatan di China sebelum membuka kempen kejohanan berdepan Iraq dalam aksi kumpulan C pada 10 Jan ini.

“Kita masih menunggu siapa lawan kita tetapi apa yang penting kita akan mempunyai perlawanan. Tidak kira sama ada pasukan negara yang layak ke Piala AFC ataupun kelab daripada Liga Super China, kedua-dua itu sudah amat memadai dan cukup untuk persiapan kita,” katanya. — Bernama

 

Sumber: TheMalayMail/ http://bit.ly/2AJ2dLF

No votes yet