24 March 2019, Sunday | 09:38am

Kerajaan PH patuh kepada 'rule of law' - Dr Mahathir

2019-03-13

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) patuh kepada prinsip ‘rule of law’, dan dengan sebab itu ia menerima keputusan mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sepatutnya mereka yang dituduh terlibat dengan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta itu telah dibicarakan.

“Tapi sebagai kerajaan yang patuh kepada ‘rule of law’, kita patuh kepada penangguhan yang dibuat oleh mahkamah. Kita hormati mahkamah walaupun rakyat tertanya-tanya kenapakah mereka yang jelas terlibat rasuah tidak dihadap untuk dibicarakan di mahkamah. Ini soalan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai kegagalan kerajaan untuk menunaikan janji-janji manifestonya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir berkata perbuatan kerajaan terdahulu serta kekangan undang-undang tidak memudahkan usaha kerajaan dalam menunaikan janji-janji manifestonya.

Pada 11 Feb lepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya dijadualkan bermula keesokannya harinya.

Sementara itu, semasa menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian), Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha mengesan dan membawa balik semua wang yang diseleweng oleh kerajaan terdahulu.

“Kita juga beri perhatian kepada pentadbiran dan pengurusan 1MDB kerana di situlah banyak wang yang hilang. Walaupun dilapor di tempat-tempat tertentu, tapi pada hakikatnya, wang itu telah hilang tak dapat dikesan,” kata beliau.

-- BERNAMA

No votes yet