24 March 2019, Sunday | 09:55am

Keputusan sertai Statut Rom tidak jejas kedudukan Agong - Wisma Putra

2019-03-11

 

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dibuat setelah yakin tindakan itu tidak akan menjejaskan kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

 

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Ahad, memaklumkan kajian secara mendalam dan teliti dari semua aspek telah dibuat sebelum keputusan untuk menyertai Statut Rom dilaksanakan.

 

"Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong membuat sesuatu keputusan atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

 

"Menteri Luar Negeri (Datuk Saifuddin Abdullah), juga telah menyembah maklum perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan memberi penerangan tentang hasrat kerajaan menyertai Statut Rom pada 15 Feb lepas," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan keputusan menyertai Statut Rom selari dengan dasar kerajaan 'Malaysia Baharu' yang menegakkan prinsip kebenaran, hak-hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.

 

Sebagai negara yang telah menandatangani "the Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court" pada 17 Julai 1998 bagi penubuhan ICC, Malaysia berpegang kepada prinsip jenayah-jenayah serius iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, adalah tidak dapat diterima dan pelakunya harus dibawa ke muka pengadilan, jelas kenyataan itu.

 

"ICC berpegang kepada prinsip complementarity di mana Artikel 17 Statut Rom memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan.

 

"Dalam erti kata lain, ia merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort)," tambah kenyataan itu.

 

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom dan jumlah Negara Pihak adalah lebih tinggi daripada bilangan negara yang bukan Negara Pihak.

 

Di kalangan Negara Pihak ini terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.

 

-- BERNAMA

Sumber:Awani/https://bit.ly/2O2cSVb

 

Average: 5 (1 vote)

Tags: