26 September 2018, Wednesday | 09:56pm

Keluarga kritik siri televisyen Versace

2018-01-11

MILAN: Keluarga mendiang pereka fesyen terkenal, Gianni Versace mengutuk siri televisyen terbaharu, yang mendedahkan insiden pembunuhannya, dan menganggap ia hanyalah sekadar satu rekaan.

Sebahagian besarnya rancangan itu dirakamkan di kediaman mewah Versace di Miami, iaitu tempat mendiang ditembak mati pada Julai 1997 dan ia bakal disiarkan di Amerika Syarikat serta Eropah, minggu depan.

"Keluarga Versace tidak pernah memberi kebenaran atau terbabit dalam penghasilan siri televisyen. Jadi ia boleh dianggap sebagai satu hasil kerja fiksyen.

"Syarikat penerbitan yang menghasilkan siri ini mendakwa ia berdasarkan buku tulisan Maureen Orth, tetapi buku itu sendiri penuh dengan gosip dan spekulasi.

"Beliau (Orth) juga tidak mempunyai asas untuk membuat dakwaan mengenai kehidupan peribadi Gianni Versace atau ahli keluarga yang lain.

"Sebaliknya, beliau menghasilkan satu cerita sensasi, melaporkan khabar angin yang penuh dengan percanggahan fakta," katanya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada buku 'The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story'.

Keluarga Versace turut mencabar dakwaan Orth bahawa mendiang disahkan positif HIV.

"Bukan kerana ia adalah sesuatu yang memalukan, tetapi memandangkan Gianni antara orang pertama yang berusaha menangani masalah ini, dengan menganjurkan majlis kebajikan dan membuat sumbangan peribadi.

"Ia semuanya kerana tuduhan sensasi Orth dan tindakannya mengabaikan maklumat yang diberikan oleh ahli keluarga Versace, yang tinggal serta bekerja rapat dengannya. Kami lebih mengetahui fakta sebenar yang berlaku dalam hidupnya," kata adiknya, Donatella kepada akhbar Itali, La Repubblica. – AFP

 

Sumber: BHOnline/ http://bit.ly/2mrHmDh

 

No votes yet