25 May 2019, Saturday | 06:38pm

Jurulatih TFC sukar terima hakikat kekalahan kepada PJ City FC di laman sendiri

2019-05-15

KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Kekalahan 3-5 Terengganu FC (TFC) kepada PJ City FC dalam perlawanan pusingan kedua saingan Liga Super di laman sendiri malam tadi ternyata sukar diterima oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Ini kerana skuad bimbingannya telah berjaya mendahului PJ City FC 3-0 pada separuh masa pertama dengan corak permainan yang agresif dan meyakinkan.

Kekecewaan itu terbawa-bawa ke luar gelanggang apabila beliau enggan ditemui wartawan untuk ditemuramah.

Penolong jurulatih pasukan, Mohamad Nik berkata kekalahan itu disifatkan sebagai satu kejutan bagi seluruh pasukan ketika mereka berada pada kedudukan selesa untuk mengutip tiga mata penuh.

"Terengganu hanya bermain bola pada 45 minit pertama. Separuh masa kedua sudah tidak ada pergerakan untuk kita tambah jaringan.

"Sebaliknya PJ City FC awal-awal babak kedua sudah menekan pemain kita dan dalam masa 12 minit sahaja sudah merembat tiga gol sekali gus menyamakan kedudukan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Menurut beliau, antara kelemahan ketara TFC adalah di bahagian sayap terutama selepas pemain baharu yang pertama kali diturunkan, Nabil Ahmad Latpi dikeluarkan pada hujung babak pertama akibat kecederaan.

"Pada separuh masa kedua pemain kita sudah nampak tak selesa dengan bola. Mereka juga tidak bertindak cepat untuk tutup ruang apabila PJ City melakukan hantaran lintang.

"Lima gol yang mereka dapat itu banyak daripada hantaran lintang dan beberapa kesilapan mudah yang tak sepatutnya pemain kita lakukan," katanya.

Selain itu, beliau juga tidak menafikan bahawa faktor fizikal pemain lawan turut memberi kelebihan kepada PJ City FC terutama dengan kemasukan dua pemain import baru, Washington Brandao dan Pedro Henrique.

TFC kini menduduki tangga kelapan carta Liga Super.

 

-- BERNAMA

 

No votes yet