21 January 2019, Monday | 10:50pm

#JendelaRamadan: 'Berpuasa 20 jam, selesai Tarawih terus bersahur'

2015-07-02

Rakyat di negara ini mungkin sudah terbiasa dengan rutin yang sama setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.

Menjejakkan kaki ke bazar Ramadan, menunaikan solat Tarawih pada sebelah malam serta mengunjungi Jalan Tunku Abdul Rahman bagi membeli persiapan Aidilfitri dilihat sebagai satu kitaran normal tatkala Ramadan tiba.

Waktu imsak sekitar jam lima pagi dan berbuka puasa apabila jarum jam menjengah ke perkarangan tujuh malam.

Jika diamati tempoh berpuasa di negara-negara lain di dunia, pastinya pelbagai cabaran dan dugaan perlu diharungi umat Islam yang berpuasa di perantauan.


 

Tempoh Berpuasa


Astro AWANI berkesempatan bertanya kepada para pembaca dari seluruh dunia sama ada yang pernah atau sedang menjalani ibadah puasa di luar negara.

Berikut merupakan rangkaian pengalaman, cabaran dan kesukaran yang dihadapi mereka apabila menunaikan ibadah berpuasa di negara asing.

Aberdeen, Scotland

“Kami di Aberdeen, Scotland berpuasa 20 jam sehari. Subuh pada jam 2 pagi dan Maghrib pula sekitar 10 malam, tapi Alhamdulillah kerana lokasinya yang jauh ke utara dan lebih dingin, 20 jam itu tidak begitu terasa.

 

Puasa Perantauan 1
Foto - Koleksi Peribadi Azwadi Kamarudin


“Walaupun musim panas tetapi cuacanya tetap sejuk, kadang-kadang di bawah 10 darjah selsius. Memasak adalah kemestian bagi kami di sini kerana tiada bazar Ramadan seperti di Malaysia. Kadang-kadang meriah apabila berbuka bersama dan masing-masing berkongsi masakan.”

                                                                                                                                                                        -Azwadi Kamarudin


United Kingdom

“Kami berpuasa lebih kurang 19 jam dan cabaran yang paling hebat buat kami adalah waktu berbuka puasa dan sahur yang amat pendek. Berbuka puasa pada jam 9.45 malam, selesai solat Terawih lebih kurang 12.15 malam dan bersahur pada jam 2 pagi.

 

Puasa Perantauan 2
Foto - Koleksi peribadi Hanafi Musa


“Cabaran yang lain di sini, suasana Ramadan tidak semeriah di Malaysia kerana kami perlu memasak sendiri setiap hari untuk juadah berbuka puasa kerana di sini tiada Bazar Ramadan dan kami sangat merindui makanan Malaysia.

“Kedai makan semua buka seperti biasa dan melihat penduduk tempatan menjamu selera di siang hari juga adalah satu cabaran buat kami untuk mengawal nafsu makan.”


-Hanafi Musa


Mekah, Arab Saudi

“Bulan Ramadan di Mekah memang amat panas. Teringat semasa Tawaf Wida', basahkan seluruh badan dengan air Zamzam. Lakukan Tawaf sambil basah air menitik namun baru pusingan keempat sahaja sudah kering seperti ikan kering ekoran kepanasan.

 

Puasa Perantauan 3
Foto - Koleksi peribadi Khairil Bahrin


"MasyaAllah, hebatnya dugaan sehebat ganjaran. Kami berdoa diberi kesempatan untuk berkunjung apabila tibanya Ramadan lagi."
 

-Khairil Bahrin



Canterbury, Kent

“Ramadan kali ini agak mencabar kerana jatuh pada musim panas di mana kami perlu berpuasa selama hampir 18 jam, bermula pada pukul 3.30 pagi sehingga 8.40 malam. Ramadan menjadi lebih mencabar apabila saya dan beberapa rakan bekerja secara sambilan sebagai pencuci di universiti tempat kami menuntut.

 

Puasa Perantauan 4
Foto - Koleksi peribadi Mohamad Noh Mustafah Hussain


“Saiz komuniti Islam di Canterbury teramatlah kecil maka suasana Ramadan tidaklah kelihatan begitu meriah. Menyedari hakikat ini, kami telah sepakat untuk mengambil peluang memasak secara bergilir-gilir dan berbuka puasa secara beramai ramai.
 

Puasa Perantauan 5
Foto - Koleksi peribadi Mohamad Noh Mustafah Hussain


“Ada ketika saya menelefon ibu dan ibu saudara untuk bertanyakan resepi hidangan popular di Malaysia, dan kami di sini bersama-sama cuba sedaya yang termampu untuk menyediakan juadah yang seakan sama.”
 

-Mohamad Noh Mustafah Hussain



Stockholm, Sweden

“Saya menjalani ibadah puasa di Kota Örebro dan tempoh berpuasa adalah 20 jam 22 minit. Ramadan pada tahun ini jatuh pada puncak musim panas atau digelar Midsommardagen.

“Jarak waktu Maghrib ke Subuh kurang dari 5 jam maka buka puasa, Tarawih dan sahur dilaksana dalam tempoh waktu yang singkat.

 

Puasa Perantauan 6
Foto - Koleksi peribadi Asnawi Ali


“Hari pertama hingga kelima adalah yang paling berat, setelah itu mula terbiasa dengan sendirinya. Dugaan terbesar bukanlah lapar dan dahaga tetapi tekanan psikologi. Ini berlaku kerana suasana Ramadan langsung tidak terasa kerana golongan Muslim adalah minoriti di Sweden.”


-Asnawi Ali



Nottingham, United Kingdom

“Tahun kedua berpuasa selama 19 jam di Nottingham. Berbuka puasa pada jam 9.30 malam, solat Isyak dan Terawih selesai pada jam 12 tengah malam. Selepas rehat sekejap, terus sahur pula sebab imsak jatuh pada pukul 2.30 pagi.

 

Puasa Perantauan 7
Foto – Facebook Nottingham Malaysian Community/Suvik Phutmanee


“Walaupun tiada bazar Ramadan seperti di Malaysia tetapi Alhamdulillah di beberapa kawasan, kemeriahan puasa itu masih terasa ekoran ramai komuniti muslim.”


-Edwin A. Hudini


Melbourne, Australia

"Tahun 2014 saya menjalani ibadah puasa dan kemudiannya meraikan Hari Raya Aidilfitri di Melbourne, Australia.

"Dugaan berpuasa tidaklah seperti di tanah air apabila suhu hanyalah antara 10°c hingga 15°c ditambah pula tempoh berpuasa yang singkat iaitu kurang dari 9 jam.

 
Puasa Perantauan 9
Foto - Koleksi peribadi Chef Matt a.k.a Flying Chef

"Apabila tibanya Syawal, pastinya hidangan rendang daging yang menjadi pilihan.

"Pada tahun 2010 pernah juga berpuasa dan berhari raya di Shanghai, China. Sememangnya cuaca panas antara 30°c hingga 38°c mengundang pelbagai dugaan dengan jumlah jam sekitar 11 jam."

-Chef Matt


Sumber & gambar - Astro Awani 
 

No votes yet