18 February 2019, Monday | 01:17pm

Inkues Muhammad Adib bermula hari ini

2019-01-18

SHAH ALAM: Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Prosiding inkues itu akan dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner kira-kira 9 pagi.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hanya tiga wakil media iaitu dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), The Star dan akhbar Sin Chiew Daily dibenarkan masuk dalam galeri mahkamah bagi membuat liputan sebab ruang terhad.

Wakil media tempatan dari pelbagai agensi sampai seawal 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu.

Pada 10 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata polis sudah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Muhammad Adib dan kertas siasatan itu sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

 

Average: 4 (1 vote)