25 June 2019, Tuesday | 07:08pm

Iklan Raya Wajib Tonton Tahun ini

2019-05-31

Saban tahun, musim yang ditunggu-tunggu umat Islam kini makin tiba dan iklan-iklan raya sudah membanjiri media sosial sehingga tak menang dek tangan kalau hendak ditonton kesemuanya. Tapi jangan risau, disini kami dah senaraikan antara iklan-iklan top yang wajib anda tonton tahun ini!

  1. JinnyBoy TV - Seringgit

Iklan ini memaparkan hubungan akrab antara atuk dan cucunya, yang kekal erat setelah cucundanya meningkat dewasa. Namun, masa sentiasa mencemburui kita dan tiba masa atuk pulang ke rahmatullah, cucunya ditinggalkan merindui momen – momen indah bersama atuk. Walaupun pemergian atuknya meninggalkan kesan di hati cucu, atuk tetap mengabadikan kenangannya dengan meninggalkan hadiah berharga buat ahli keluarganya untuk setiap kali hari raya. Walaupun kecil pada nilai, tetapi ingatan yang ditinggalkan atuk itu lebih berharga lagi dari nilai wang Ringgit.

  1. Suria – Meja Bulat Mak

Iklan simple dari Suria FM ini cuma difilemkan di meja makan mak di kampung pada malam raya di mana DJ-DJ Suria FM dan selebriti tv sekeluarga berkumpul dan membawang tentang jiran tertangga dan mengungkit kisah-kisah lama, sehingga tercetusnya pergaduhan antara dua beradik Fizi dan Tyzo. Di kala pemergian ibu mereka, 7 adik beradik ini mencari titik persefahaman untuk berbaik tatkala personaliti berbeza antara mereka merumitkan lagi keadaan. Buat pendengar Suria FM, pastikan anda tidak terlepas untuk menonton iklan lawak tapi sedih lakonan selebriti-selebriti radio dan tv kegemaran anda! 

  1. Maxis – Deria Takbir

Berbeza dengan iklan raya lain yang banyak menonjolkan penceritaan kekeluargaan sewaktu sambutan hari raya, iklan raya Maxis mengambil langkah untuk memperkenalkan aplikasi terbaharunya dalam penceritaan menyentuh hati yang direka khas untuk golongan kelainan upaya.  Iklan ini memberi peringatan untuk kita sentiasa bertimbang rasa dan turut berkongsi kegembiraan kepada kenalan atau keluarga kita yang berlainan upaya terutamanya apabila menyambut hari bermakna di Hari Raya bersama-sama.  

  1. PETRONAS – Rendang SoRaya

Memaparkan dua pelakon dari iklan Gawai ‘Baju Burong Apai’, Rendang SoRaya mengisahkan perjalanan seorang anak perempuan yang pulang ke kampung dan risau tentang rendang yang dimasak tidak menepati resepi dan rasa rendang ibunya. Cerita yang menonjolkan dialek Nogori Sembilan dan komuniti berbilang kaum ini pasti mencuit hati anda dan membuatkan anda menitiskan air mata di saat pengakhiran cerita.

  1. TNB – Konvoi Epik Fantastik

Berkonvoi dengan ahli keluarga memang lumrah ketika beraya, lagi-lagi bila ramai yang hendak dilawat dari jiran tetangga, ipar duai, sehinggalah ke saudara mara. Perasaan seronok berkonvoi ditambah lagi dengan gandingan watak atuk yang cool dalam iklan TNB ini dan perjalanan mereka yang merentas sawah padi yang menghijau untuk ke destinasi yang hendak dituju. Menyentuh babak-babak wajib ketika sambutan hari raya seperti duit raya, tak putus menonton tv dan bertemu sanak saudara yang tak pernah dijumpa, iklan ini pasti mencuit hati sesiapa yang menonton.

  1. Media Prima - Hero Setulus Iklas

Penceritaan menarik ini mengisahkan sudut pandang seorang cucu, Amir kepada atuknya yang dilihat sebagai “Hero” kerana sering membantu penduduk kampung dalam setiap perkara. Walaupun sudah lanjut usia, atuk tetap bekerja keras di kedai runcit miliknya dan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Apabila ditimpa bencana, Amir bersama pekerja di kedai atuk, Haqiem Rusli terperangkap di kedai dan buntu mencari jalan penyelesaian. Atok pula tiada di kedai kerana terpaksa bertuduh di pondok kecil sewaktu hujan lebat turun dan tidak tahu menahu tentang kejadian di kedainya. Penonton pasti tersentuh hati apabila menonton pengakhiran iklan ini. Nak tahu apa jadi, kenalah tengok!

Itulah antara 6 iklan raya top pada tahun ini. Buat para penonton yang ingin berkongsi iklan-iklan lain yang turut diberi sentuhan kelainan pada tahun ini, dialu-alukan untuk share di komen di bawah. Semoga semua yang pulang ke kampung tahun ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bersama keluarga dan jangan lupa ya bagi punchline-punchline power bila ditanya soalan wajib hari raya “bila nak kahwin?!” Selamat hari raya semua, Minal Aidin Wal Faidzin! 

Kredit gambar - Oh Bulan

Average: 5 (1 vote)