20 May 2019, Monday | 05:31am

Hospital wanita, kanak-kanak bernilai RM500 juta bakal dibina di Melaka

2019-04-23

MELAKA: Sebuah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (WCH) yang dianggarkan bernilai RM500 juta akan dibina berhampiran Hospital Melaka (HM) bagi mengurangkan kesesakan di HM, khususnya di Wad Pediatrik serta Obstetrik dan Ginekologi.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata kementerian memohon peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi bagi melaksanakan kerja pembinaan awal WCH yang dijangka bermula tahun depan.

Beliau berkata WCH akan menempatkan sebanyak 440 katil dijangka sekali gus mengurangkan kesesakan di Wad Pediatrik serta Obstetrik dan Ginekologi di HM antara 35 hingga 40%.

“WCH ini akan dibina di tapak seluas 3.16 hektar iaitu bersebelahan Kolej Pengajian Kejururawatan Melaka yang terletak bersebelahan Hospital Melaka.

“Kita mengharapkan WCH dapat disiapkan dalam tempoh 1 atau 2 tahun dan berharap ia dapat beroperasi antara 2022 atau 2023 kerana pada masa ini ‘bed occupancy rate’ di HM terutama di 2 wad itu ialah 100%,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hospital Melaka, hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka Low Chee Leong; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan, Dr Rohaizat Yon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Rushdi Ramly.

Sementara itu, Dzulkefly berkata kerja menaik taraf sistem bekalan elektrik HM yang membabitkan kos berjumlah RM29.8 juta dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2021.

Beliau berkata projek tersebut diluluskan pada 2016 dan penting bagi memastikan operasi HM berjalan lancar dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pendekatan menyewa fasiliti, mesin dan peralatan perubatan di HM, katanya dapat memastikan pesakit memperoleh mendapat rawatan terbaik.

“Kaedah sewa ini melibatkan peralatan atau mesin perubatan yang besar dan mahal seperti Magnetic Resonance Imaging, CT Scan, katil khas untuk wad ICU dan mesin EGC kerana kita menghadapi kekangan kewangan,” katanya.

Kementerian juga menekankan kerjasama awam dan swasta dalam usaha memastikan kemudahan atau fasiliti perubatan dapat ditambah baik, katanya dengan memberi contoh, kolaborasi HM dengan hospital swasta seperti Hospital Pakar Putra dan Pantai yang mempunyai kemudahan perubatan yang lengkap termasuk tenaga pakar tentu.

BERNAMA

 

Average: 5 (1 vote)