25 June 2019, Tuesday | 07:01pm

Harimau Malaya belum sempurna

2019-06-10

 

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui kemenangan besar 7-1 ke atas Timor Leste pada aksi playoff pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin masih belum sempurna.

 

Kata Cheng Hoe, apa yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya sangat memuaskan tetapi masih belum layak untuk mengiktiraf kemenangan tersebut sebagai sempurna kerana ada beberapa kelemahan ketara perlu diperbaiki.

 

“Secara jujur, saya percaya tiada istilah perlawanan sempurna dalam bola sepak dan ia termasuk kemenangan ke atas Timor Leste kali ini kerana masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki khususnya hantaran di atas padang.

“Namun, pujian tetap harus diberikan kepada pemain yang mencurahkan 100 peratus untuk melakar kemenangan ini. Saya anggap ini merupakan hadiah Hari Raya Aidilfitri terbaik daripada mereka untuk penyokong bola sepak negara,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Pada aksi itu, pemain sensasi negara, Safawi Rasid meledak dua gol pada minit ke-45 dan 59, selain La’Vere Corbin-Ong (m-12), Shahrel Fikri Md Fauzi (m-23), Norshahrul Idlan Talaha (m-43), Faiz Nasir (m-78) Akhyar Rashid (m-89) manakala gol sagu hati Timor Leste dijaringkan Joao Pedro (m-52).

Mengulas lanjut, Cheng Hoe sudah mula mencongak aksi kedua menentang skuad kendalian Norio Tsukitate pada Selasa depan dengan memberi gambaran untuk merombak kesebelasan utama ketika pasukan sudah pun ‘sebelah kaki’ ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Saya akui ini adalah keputusan cukup positif tetapi pada masa sama saya tidak mahu pemain terlalu yakin kerana masih ada perlawanan kedua bakal diharungi pada Selasa nanti.

“Mungkin akan ada rombakan dalam kesebelasan utama kerana Syafiq Ahmad mengalami kecederaan. Namun, pemain-pemain yang dibawa masuk seperti Shahrel Fikri, Faiz Nasir dan Akhyar telah mempamerkan aksi yang tidak kurang hebatnya,” katanya. - K! ONLINE

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2WXAiSk

 

No votes yet