21 March 2019, Thursday | 07:12pm

Guardiola puas pintas Liverpool

2019-02-07

LIVERPOOL: Pep Guardiola memuji semangat kental dipamerkan Manchester City kendaliannya apabila merampas kedudukan Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Everton 2-0, awal pagi tadi.

Anak buah Guardiola berada dalam kedudukan bahaya, bimbang diketepikan Liverpool dalam pemburuan gelaran selepas tewas di tangan Newcastle, minggu lalu.

Namun Liverpool turut berdepan situasi hampir sama apabila terikat seri dalam dua perlawanan menentang Leicester dan West Ham sekali gus memberikan ruang buat City bangkit semula.

Kemenangan di Goodison Park menerusi jaringan Aymeric Laporte dan Gabriel Jesus, membenarkan City mengatasi Liverpool di puncak carta dengan perbezaan jaringan.

Guardiola dalam pada itu menegaskan kebangkitan City di puncak liga menunjukkan keengganan mereka untuk tidak keluar daripada pemburuan gelaran.

"Goodison Park, 2-0, kami harus bergembira. Daripada sudut konsisten, kami tidak melepaskan satu pun jaringan. Menjaringkan gol pada minit terakhir babak pertama, banyak membantu kami," kata Guardiola.

"Kami bukanlah pasukan paling tinggi (pemain) di dunia jadi kami tidak jangka dapat menjaringkan gol daripada situasi bola mati, tetapi (penolong jurulatih) Mikel Arteta bekerja keras dengan mereka. Saya sangat berpuas hati."

City ketika ini bermain satu perlawanan liga melebihi Liverpool kerana kunjungan ke Everton dibawa ke depan disebabkan pertemuan aksi final Piala Liga dengan Chelsea bulan ini.

"Kami mempunyai satu perlawanan pada setiap tiga hari selama tiga bulan. Saya tidak tahu sejauh mana kemampuan kami, mungkin kami akan mati di pertengahan jalan namun kami sedang mencuba," kata Guardiola.

"Kami sudah bermain satu perlawanan lebih daripada Liverpool. Ia bagus untuk berada di atas tetapi Liverpool juga mempunyai satu perlawanan di Old Trafford.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkannya tetapi empat atau lima hari sebelum ini, kami mungkin sudah ketinggalan tujuh mata di belakang, ia satu pengajaran untuk jangan sesekali mengaku kalah.

"Kami mempunyai satu ujian besar Ahad ini menentang Chelsea." – AFP

No votes yet