21 June 2018, Thursday | 05:06am

Fazrul bimbang kelicikan Safiq

2018-03-13

JOHOR BAHRU: Penyerang Tampines Rovers, Fazrul Nawaz Shahrul Hameed mengakui kekuatan Johor Darul Ta'zim (JDT) terletak kepada kepintaran kapten Safiq Rahim yang mampu menjana jentera tengah pasukan itu pada pertembungan saingan Kumpulan H Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Pemain Singapura itu tidak menafikan betapa kelibat Safiq pada babak kedua ketika aksi pusingan pertama di Stadium Jalan Besar, 6 Mac lalu beri kesan pada benteng pertahanan Tampines Rovers yang terpaksa bekerja keras mengekang setiap asakan bertubi-tubi skuad Harimau Selatan.

"Ketika aksi menentang JDT sebaik Safiq di bawa masuk pada babak kedua, corak permainan mereka lebih agresif apabila menguasai posisi tengah dan kami terpaksa bertungkus lumus mengekang gerakan berbahaya pasukan itu.

"Safiq adalah pemain utama JDT yang harus diawasi dan kami kena bersiap sedia sama ada dia diturunkan atau tidak kerana kami tidak mahu tewas pada perlawanan itu memandangkan pemburuan yang disasarkan mencari kemenangan pertama.

"Kami mahu menang memandangkan aksi menentang JDT boleh dianggap penting untuk persiapan memulakan kempen Liga Singapura (Liga S) yang akan bermula hujung bulan ini dan kami juga tidak mahu keciciran mata tatkala peluang masih ada untuk merapatkan jurang mata dengan pasukan lain," katanya.

Fazrul Nawaz tidak menafikan pertembungan menentang JDT tampak sukar tatkala skuad kendalian Raul Longhi ingin bangkit daripada persembahan tidak konsisten dan mahu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri memburu kemenangan.

Katanya, perancangan taktikal yang ampuh yang dibentuk jurulatih (Jurgen Raab) mampu beri kesan positif bagi menghadapi JDT dan tidak mustahil kesebelasan utama yang akan diturunkan mampu beraksi konsisten bagi menidakkan penguasaan skuad Harimau Selatan pada perlawanan itu nanti.

"JDT memiliki rekod baik di Larkin dan kita tahu mereka akan turun habis-habisan memburu kemenangan dan tidak mustahil sebaik aksi bermula mereka akan menyerang namun kami akan bersedia menyerap segala serangan pasukan itu," kata Fazrul Nawaz.

Sumber: BeritaHarian/http://bit.ly/2tH2HP5

 

No votes yet