18 November 2018, Sunday | 02:55pm

Durakovic harap dapat bajet lebih beli pemain

2018-11-08

MEHMET Durakovic berharap Perak akan mendapat peruntukkan tambahan pada musim depan bagi membeli pemain terbaik sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Liga Juara Asia 2019 .

"Ia bukan tugas yang mudah apabila kami memerlukan sebuah skuad yang besar dan berpengalaman luas, tetapi harap-harap kita boleh mendapat kewangan yang baik untuk mendapatkan pemain yang terbaik.

"Kami akui bakal berdepan saingan sengit pasukan lawan kerana pada fasa ini pasukan bertanding bukan pasukan sebarangan, tapi saya optimis pemain Perak bersiap siaga mampu memberikan  aksi terbaik pada Kelayakan Liga Kejuaraan Asia 2019 walaupun mengakui bakal berdepan saingan sengit pada kejohanan itu," kata Durakovic kepada pemberita selepas  majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 di sini malam tadi yang menyaksikan beliau  dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik.

Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk memberi slot kelayakan ACL 2019 kepada Perak selepas Pahang gagal mengemukakan rayuan selepas dikenakan larangan dua tahun kerana membantah arahan FAM untuk mengambil bahagian dalam Piala AFC sebelum itu.

Dalam perkembangan sama,  ketua jurulatih Perak itu mengesahkan  beliau akan terus membimbing skuad The Bos Gaurus untuk Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Jurulatih dari Australia berumur 53 tahun itu menyatakan bahawa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyatakan hasrat untuk mengambil  bekas jurulatih itu bagi membimbing The Red Giants pada musim depan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Raja Muda Selangor dan saya berbual mesra bersama beliau  selepas perlawanan akhir Piala Malaysia dan memang ya saya bersetuju sertai Selangor, tetapi selepas  menjelaskan semua situasi dengan keluarga saya, beliau memberi restu untuk saya terus bersama Perak dan saya ingin berterima kasih kepada beliau.

"Saya  bersama Selangor selama 25 tahun dan mereka seperti keluarga saya dan Insya-ALLAH, saya akan kembali kepada Selangor,” kata Durakovic.

Nama Durakovic tidak asing kepada Selangor, apabila membawa tiga kali kemenangan Piala Malaysia sebagai pemain iaitu pada 1995,1996 dan 1997 dan sebagai jurulatih pada 2015. - Bernama

No votes yet