20 May 2019, Monday | 05:37am

Dr Wan Azizah tiba di Geneva untuk lawatan kerja tiga hari

2019-05-15

GENEVA, 14 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di sini untuk lawatan kerja tiga hari bagi mengetuai delegasi Malaysia ke edisi keenam Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR).

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Geneva pada 1.35 tengah hari waktu tempatan (7.35 malam waktu Malaysia) dengan pesawat komersil, disambut oleh Wakil Tetap Malaysia di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Amran Mohamed Zin dan isteri Datin Razana Mat.

Dalam lawatan pertamanya ke Switzerland selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 12 Mei tahun lalu, Dr Wan Azizah dijadual menyampaikan ucaptama pada dua sesi utama persidangan GPDRR yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Geneva (CICG), pada Rabu.

Beliau juga dijadual menyertai sesi meja bulat peringkat menteri pada Khamis.

GPDRR adalah acara dwitahunan yang diselaraskan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pengurangan Risiko Bencana dan merupakan forum paling utama di peringkat antarabangsa untuk perkongsian strategik, koordinasi, pembangunan perkongsian dan semakan pembangunan pelaksanaan instrumen pengurusan risiko bencana.

Lebih 4,000 perwakilan dari 193 negara anggota PBB berhimpun di sini bermula Isnin, bagi menghadiri persidangan itu yang bertemakan “Resilience Dividend: Towards Sustainable and Inclusive Societies.” 

Delegasi Malaysia turut disertai pegawai daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Mineral dan Geosains.

Jadual padat Dr Wan Azizah bermula hari ini, di mana beliau akan menerima kunjungan hormat Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood sebelum menghadiri sesi iftar dan dialog bersama rakyat Malaysia.

Pada dua hari berikutnya, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dua hala bersama Naib Presiden Indonesia Mohamed Jusuf Kalla selain pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi.

Dr Wan Azizah juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil khas Setiausaha Agung PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizutori selain berkunjung ke Yayasan Kebudayaan Islam Geneva bagi mengadakan pertemuan dengan kepimpinan pusat Islam itu. 

Beliau akan berlepas pulang ke Malaysia pada petang Khamis.

-- BERNAMA

 

No votes yet