19 August 2018, Sunday | 02:53am

Dr Mahathir terima anugerah ‘The Star of Soekarno’

2015-09-28

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima anugerah 'The Star of Soekarno' yang diberikan Yayasan Pendidikan Soekarno (YPS) di Jakarta, malam tadi.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap ketokohan, keberanian dan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan suara hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Pengasas YPS Rachmawati Soekarnoputri yang mengalungkan pingat bintang itu kepada Dr Mahathir berkata, penganugerahan itu adalah sebagai tanda persahabatan dan pengiktirafan sumbangan para pemimpin di peringkat dunia.

Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, walaupun beliau tidak pernah bertemu dengan Soekarno, namun presiden pertama Indonesia itu merupakan idolanya semasa beliau masih seorang pelajar.

 

 

Katanya, disebabkan itu, anugerah berkenaan sangat bermakna dalam hidupnya kerana beliau dapat memiliki satu tanda kenangan yang berkaitan dengan semangat Soekarno.

"Ketika Indonesia bergelut memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan Belanda di bawah pimpinan Soekarno dan Hatta (Mohammad Hatta, timbalan presiden pertama Indonesia), Malaysia belum lagi terbentuk dan masih di bawah pentadbiran British dan semangat Soekarno kemudiannya mula menyerap dalam kalangan pemimpin Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan," katanya.

Anugerah 'The Star of Soekarno' itu mula diberikan kepada para pemimpin luar Indonesia pada 2001 dan selain Dr Mahathir, 3 penerima lain ialah bekas presiden Cuba Fidel Alejandro Castro Ruz, bekas presiden Venezuela Hugo Rafael Chavez dan Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

 

 

 

 

Sumber : Malaysian Insider              http://buff.ly/1P0IYvM

Gambar : nadiamusa.net

No votes yet