19 April 2019, Friday | 03:32am

Dendam terhadap keluarga punca Siti Masitah dipukul hingga mati

2019-02-12

KUANTAN – Dendam dan marah dengan keluarga Siti Masitah Ibrahim, 11, dipercayai menjadi punca kanak-kanak perempuan berkenaan dibunuh oleh suspek yang dikenali mereka.

Kanak-kanak berketurunan Kemboja berkenaan dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala oleh suspek berusia 23 tahun pada hari dia dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati terdapat tiga kecederaan di rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.

“Hasil pengakuan awal suspek, polis telah merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

“Motif kejadian adalah dipercayai kerana dendam atau marah terhadap keluarga mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan dekat sini untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira pukul 5 petang 30 Januari lalu.

Mayat anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan kira-kira pukul 4 petang kelmarin oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam semak bersebelahan sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Othman bagaimanapun tidak menjelaskan punca yang menyebabkan suspek berdendam dengan keluarga mangsa.

Kata beliau, suspek yang merupakan warga negara Kemboja adalah kenalan kepada keluarga mangsa dan mereka tinggal sekampung.

Hasil soal siasat, kata beliau, suspek pada awalnya tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan mangsa namun akhirnya mendedahkan penglibatan dirinya berkaitan kehilangan kanak-kanak berkenaan.

“Polis menafikan penularan berita yang tidak berasas bahawa terdapat organ-organ badan mayat berkenaan yang hilang yang kononnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia.

“Polis tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa yang panjang,” katanya. – BERNAMA

No votes yet