18 November 2018, Sunday | 02:56pm

Cristina tak bantu promosi filem Tujuh?

2018-11-08

KUALA LUMPUR: Pengarah Tujuh, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin mendakwa salah seorang pelakon filem arahannya itu, Cristina Suzanne tidak membantu urusan promosi termasuk menghadiri sesi pratonton filem itu di ibu negara, baru-baru ini.

Ralat dengan ketiadaan Cristina menyertai barisan pelakon lain mempromosikan filem Tujuh, Raja Mukhriz teringat detik bekerjasama dengan aktres itu ketika penggambaran filem berkenaan, lima tahun lalu.

“Lima tahun lalu, Cristina antara pelakon yang bagi saya cukup bertuah dapat bekerjasama dalam filem ini.

“Dengan bakat besar dimiliki, dia dianggap aset... Dia sangat berbakat.

“Apabila dia tidak ada sekarang, saya tidaklah kecewa kerana pelakon lain terus menggerakkan promosi Tujuh.

“Cuma sebagai satu pasukan kerja, rasa ralat apabila kita tidak dapat meraikan pelancaran filem ini bersama-sama... Jadi rasa tak lengkap,” katanya kepada BH Online.

Selain Cristina, filem Tujuh yang diterbitkan Primeworks Studios membariskan pelakon lain seperti Marsha, Johan As’ari, Pekin Ibrahim, Riz Armin, Siti Saleha, Aeril Zafrel, dan Deedee Nash.

Tujuh mula ditayangkan di pawagam, esok.

Ditanya apakah beliau tahu kononnya Cristina sudah bekerja dan dilihat seperti mahu meninggalkan dunia seni, Raja Mukhriz tidak pasti dengan perkembangan itu.

“Mengenai dirinya dikatakan sudah bekerja sebagai pramugari, saya ada dengar desas-desus... Saya tak pasti. Saya pun pernah dengar dia sudah berkahwin tahun ini,” katanya.

Beberapa bulan lalu, ketika Cristina masih aktif di Instagram, dia memuat naik foto hitam putih majlis pernikahannya dengan keterangan ringkas berbunyi ‘310318’.

Difahamkan, Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2013 itu bernikah dengan jejaka dikenali sebagai M Faiz Zakaria.

Ketika ini, Cristina yang pernah membintangi filem Jwanita, CEO dan Sejoli : Misi Cantas Cinta tidak lagi mengaktifkan Instagram di bawah akaun @cristinastockstill.

BHONLINE

Average: 5 (1 vote)