17 July 2019, Wednesday | 03:43am

City nekad pertahan gelaran

2019-04-22

MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menghamburkan pujian terhadap skuad kendaliannya selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana England (EPL) di Stadium Etihad malam kelmarin.

Gol kemenangan menerusi Phil Foden seawal minit kelima sekali gus membo­lehkan City menebus kekecewaan apabila disingkirkan Spurs daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini selepas tewas di peringkat suku akhir.

Justeru, Guardiola memuji peranan dimainkan barisan pemainnya pada perlawanan itu, sekali gus terus menghidupkan peluang mereka bagi mempertahankan mahkota kejuaraan EPL yang dimenangi musim lalu.

“Bagi saya, ia merupakan salah satu perlawanan menakjubkan kerana setiap pemain adalah manusia biasa yang memiliki naluri serta perasaan. Kami berdepan pasukan sama yang menyingkirkan kami daripada Liga Juara-Juara minggu lalu.

“Kami sedih apabila tersingkir daripada Liga Juara-Juara tetapi kami tidak akan mudah mengalah kerana peluang memenangi gelaran EPL masih terbuka. Kami perlu memenangi semua baki perlawanan musim ini,” kata Guardiola.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Barcelona tersebut berharap kecederaan yang menimpa pemain perancang, Kevin de Bruyne tidak serius selepas dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-38 selepas kaki kirinya tercedera.

“Dia rasakan sesuatu pada kakinya, jadi saya ambil keputusan untuk keluarkannya. Nasib tidak menyebelahinya musim ini apabila banyak menghabiskan masa dengan menjalani pemulihan kecede­raan. Dia mungkin perlukan sedikit masa lagi untuk kembali ke prestasi terbaik,” ­ujarnya. – Agensi

 

No votes yet

Tags: