25 June 2019, Tuesday | 07:06pm

Cheng Hoe ada pelan tersendiri

2019-06-11

SKUAD Harimau Malaya ada perancangan tersendiri untuk berdepan sebarang kemungkinan menjelang menentang Timor Leste pada aksi timbal balik pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.

 

Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap pasukannya yang dilihat mampu mengatasi kesukaran meskipun Timor Leste dijangka bermain dengan corak ‘parking bas’ selepas pa­sukan itu kecundang 1-7 bagi aksi pertama Jumaat lalu.

 

Cheng Hoe memberitahu, beliau yakin anak-anak buahnya mampu merobek benteng pertahanan pasukan bimbingan Norio Tsukitate walaupun mereka dijangka memperkukuhkan benteng pertahanan agar tidak dibolosi jaringan besar.

“Saya rasa pemain perlu terus fokus dan bermain dengan cara kami supaya terus mencatatkan keputusan yang positif.

“Apa sahaja taktikal jurulatih Tsukitate nanti, kami perlu menghormatinya kerana Timor Leste juga mempunyai perancangan yang lebih rapi kali ini.

“Bagi saya, Malaysia mem­punyai pemain yang mampu menembusi barisan pertahanan mereka serta berupaya untuk menjaringkan gol jika Timor Leste bermain lebih kepada corak bertahan.

“Bagaimanapun, kami perlu pastikan setiap peluang yang dihasilkan diterjemahkan dalam bentuk gol,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional,­ Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies mengakui masih belum puas sebaliknya terus dahagakan lebih banyak gol menjelang pertemuan timbal balik malam ini.

“Biarpun Malaysia telah mencatatkan jumlah jaringan besar tetapi apa yang boleh saya katakan ialah kami masih mendahagakan keputusan positif.

“Buat masa sekarang, kami masih tenang dan teruja untuk melengkapkan aksi timbal balik sebelum memimpin Malaysia mara ke peringkat seterusnya,” katanya.

Jika berjaya mengatasi Timor Leste, skuad Harimau Malaya akan layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/­Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan).

Pusingan kelayakan akan berlangsung selama sembilan bulan dengan melibatkan 10 hari perlawanan bermula 5 September 2019 sehingga 9 Jun 2020.

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2I77Hl8

 

No votes yet