21 May 2019, Tuesday | 08:09am

Borrusia Dortmund tercicir mata lagi

2019-02-19

BERLIN: Pendahulu Bundesliga Borussia Dortmund tercicir mata lagi dalam pemburuan gelaran apabila seri tanpa jaringan menentang pasukan kelompok bawah Nuremberg.

Dortmund kini hanya tiga mata di depan Bayern Munich yang berada di tangga kedua, selepas juara bertahan itu menang 3-2 ke atas Augsburg Jumaat lalu dan jurang sembilan mata semakin kecil selepas pendahulu Bundesliga itu seri dalam tiga perlawanan.

“Sudah tentu ia terlalu sedikit buat kami, kami perlu mengutip mata semula,” kata penyerang Dortmund Mario Goetze.

“Mereka tidak memberi laluan mudah bagi dengan hanya bertahan, tetapi kami perlu memperbaikinya.”

Biarpun tanpa perancang Marco Reus, pertahanan Lukasz Piszczek dan Manuel Akanji yang cedera, ia adalah satu lagi persembahan kurang memberangsangkan daripada pendahulu liga itu.

Nuremberg dibelasah 7-0 di Dortmund pada September lalu, tetapi persembahan oleh tuan rumah kali ini lebih meyakinkan dan keputusan seri itu diraikan oleh peminat seolah-olah mereka memperoleh kemenangan.

Perlawanan itu juga adalah yang pertama di bawah pengendali sementara, Marek Mintal dan Boris Schommers selepas ketua jurulatih, Michael Knoeller dan pengarah sukan, Andreas Borneman dipecat minggu lalu.

Penjaga gol Nuremberg, Christian Mathenia, yang menyelamatkan empat percubaan dalam babak pertama daripada Goetze sahaja, berulang kali diasak pasukan pelawat.

Nuremberg kini mengharungi 16 perlawanan liga tanpa kemenangan.

“Tiada siapa meletakkan harapan kepada kami menjelang perlawanan ini dan ia membuatkan kami lebih bangga apabila memperoleh satu mata,” kata Mathenia. – AFP

No votes yet