16 December 2017, Saturday | 06:54pm

Beza gaji pekerja swasta & kerajaan

2017-10-11

Skim gaji yang diberikan sektor swasta tidak boleh dibandingkan dengan apa yang ditawarkan dalam sektor perkhidmatan awam.

Demikian penjelasan diberikan oleh Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta sektor swasta sekurang-kurangnya menyamakan skim gaji pekerja mereka dengan sektor perkhidmatan awam.

"Modul perniagaan dan pendapatan yang diperoleh pihak syarikat swasta jauh beza dengan sektor perkhidmatan awam. Kedua-dua ini tidak boleh melakukan perbandingan sedemikian.

"Skim gaji yang ditentukan oleh sesebuah syarikat adalah mengikut kemampuan majikan itu sendiri," kata Shamsuddin ketika memberitahu China Press.

Menurutnya, beliau tidak setuju kenyataan Ahmad Zahid bahawa skim gaji yang diberikan oleh pihak majikan boleh memalukan pekerja mereka sendiri.

"Gaji diberikan majikan adalah berdasarkan keuntungan diperoleh mereka. Selain itu, jumlah gaji pekerja turut bergantung kepada faktor prestasi perniagaan.

"Sebaliknya, pihak kerajaan tidak perlu memikirkan masalah untung atau rugi. Kerajaan boleh dikatakan amat senang mendapatkan wang, contohnya dengan menambahkan cukai bagi menampung jumlah kenaikan gaji kakitangan awam," katanya.

Beliau berpendapat, skim gaji dalam sektor swasta tidak sepatutnya menjadi isu kerana majikan sedia menaikkan gaji pekerja sekiranya syarikat mencatatkan keuntungan memberangsangkan.

 

Sumber: Sinar Harian | http://www.sinarharian.com.my/nasional/beza-gaji-pekerja-swasta-kerajaan...

Average: 5 (2 votes)