25 June 2019, Tuesday | 06:54pm

Beregu negara perlu terus kutip mata untuk ke Olimpik

2019-05-31

 

BARISAN beregu lelaki kebangsaan diharap memanfaatkan Kejohanan Badminton Terbuka Australia yang akan berlangsung di Sydney bermula 4 hingga 9 Jun depan bagi mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan.

 

Ketua Jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman berharap anak-anak buah­nya mampu melayakkan diri sekurang-kurangnya ke pering­kat suku akhir dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini bagi mencerahkan peluang layak ke Tokyo.

 

Dua beregu terbaik kebangsaan pada ketika ini, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bakal menggalas tanggungjawab pada Terbuka Australia nanti dengan harapan tinggi diletakkan pastinya diletakkan ke atas mereka bagi membawa cabaran negara lebih jauh di kejohanan itu.

Justeru, Paulus menggesa dua beregu berkenaan agar mengulangi aksi sama ketika mewakili negara pada kejohanan Piala Sudirman di Nanning, China minggu lalu bagi memastikan rentak permainan mereka kekal konsisten menjelang kejohanan akan datang.

“Buat masa ini, mereka perlu mula mencari jalan bagaimana untuk kekal konsisten dengan corak permainan sekarang kerana ia boleh membantu mereka dalam memperbaiki kedudukan ranking sedia ada, jadi saya mahu mereka mara sekurang-kurangnya ke suku ataupun separuh akhir.

“Mereka bermain sangat baik pada saingan Piala Sudirman sebelum ini, jadi saya harap ia boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mereka. Walaupun kejohanan kali ini berbeza dengan Piala Sudirman tetapi saya harap mereka mampu teruskan aksi tersebut,” kata Paulus.

Pada masa sama, beliau mengakui sangat gembira dengan prestasi ditampilkan dua beregu berkenaan pada Piala Sudirman lalu selain sudah mengesan beberapa kelemahan yang ada, sekali gus boleh diperbaiki dalam sesi latihan nanti.

“Berhubung aksi mereka pada Piala Sudirman, saya sangat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan, terutamanya ketika berdepan China dan Jepun. Walaupun kalah tetapi saya sudah dapat kesan apa yang perlu diperbaiki dalam permainan mereka,” ujarnya.

Selain dua beregu tersebut, Malaysia akan turut diwakili perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zee Jia, perseorangan wanita, Goh Jin Wei, beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pemenang pingat emas beregu lelaki Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2wqJ4cL

No votes yet