21 October 2018, Sunday | 09:51pm

Bekas Pengerusi Tabung Haji, Azeez, abang dan sepupu direman

2018-09-26

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, abang dan sepupu direman selama empat hari bagi membantu pelbagai siasatan kes rasuah membabitkan kontrak TH.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim mengikut peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Shah Wira membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman terhadap ketiga-tiga individu itu bermula hari ini sehingga 29 September ini.

Difahamkan, perintah penahanan reman itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Terdahulu, Abdul Azeez, abangnya dan sepupu beliau yang juga pengarah syarikat, tiba di mahkamah dengan dibawa menaiki kereta Proton Preve warna perak SPRM pada jam 10.30 pagi.

Mereka yang diiringi pegawai SPRM dibawa ke Aras 2 dengan ditemani keluarga dan sekumpulan penyokong yang melaungkan 'Hidup BN’.

Ketiga-tiga mereka diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Datuk S Devanandan.

Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditahan jam 11.15 pagi semalam selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah, di ibu pejabat SPRM.

Abangnya, yang juga pengurus besar sebuah syarikat, ditahan di Sungai Buloh, 15 minit selepas itu.

BHOnline

Average: 4 (1 vote)