24 May 2019, Friday | 04:06am

BAM sangkal dakwaan prestasi Zii Jia merudum kerana denda

2019-04-22

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menyangkal laporan sebuah akhbar tempatan bahawa denda yang dikenakan terhadap pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjadi punca penurunan prestasi pemain berusia 21 tahun itu.

BAM menerusi kenyataan berkata, pihaknya juga telah membuat kenyataan bertulis kepada akhbar berkenaan menuntut penarikan balik tanpa syarat laporan itu.

“Kenyataan bahawa Zii Jia telah dikenakan denda RM80,000 oleh penaja utama BAM, Victor kerana menggunakan pelindung betis jenama lain dengan BAM membayar RM50,000 manakala selebihnya telah dibayar oleh Zii Jia itu adalah tidak benar sama sekali.

“Pengamal media juga diingatkan supaya mendapatkan maklumat dari pihak BAM sendiri sebelum membuat sebarang laporan,” menurut kenyataan itu.

Sebuah akhbar Bahasa Melayu pada hari ini menerusi laporan bertajuk ‘Denda Punca Merudum’ mendakwa denda yang dikenakan terhadap pemain berasal dari Kedah itu, menjadi punca penurunan prestasinya.

 

-- BERNAMA

 

No votes yet