21 May 2019, Tuesday | 08:08am

AS Roma hampiri tiket Liga Juara-Juara

2019-02-19

MILAN: Pemain pertahanan Aleksandar Kolarov dan Federico Fazio meledak gol di babak kedua dalam kemenangan 2-1 ke atas Bologna yang meletakkan Roma semakin hampir dengan kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Eusebio di Francesco menyusul kemenangan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara ke atas Porto minggu lalu dengan mengukuhkan kedudukan di tangga kelima dan kini hanya satu mata di belakang AC Milan yang berada di tangga keempat.

“Kami tidak boleh ketinggalan hari ini. Kami gembira mendapat tiga mata, tetapi persembahan kurang sedikit,” kata Di Francesco.

Juara bertahan Serie A Juventus mendahului selesa dengan 13 mata mengatasi pesaing terdekat Napoli yang seri tanpa jaringan menentang Torino, manakala Inter Milan di tangga ketiga, tujuh mata di belakang Napoli.

Bintang muda Roma Nicolo Zaniolo – yang meledak dua gol ketika menentang Porto – bergelut di bahagian sayap dengan Stephan El Shaarawy dimasukkan selepas rehat dan 10 minit kemudian mendapatkan penalti yang disempurnakan Kolarov.

Ia adalah gol ketujuh musim ini buat pertahanan Serbia, Kolarov, melebihi mana-mana pertahanan dalam liga-liga tertinggi Eropah.

Kapten Danile De Rossi dimasukkan pada minit ke-68 dengan Fazio menambah jaringan pada minit ke-73.

Roma melebarkan deretan tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan liga, manakala Bologna, yang menewaskan mereka 2-0 di awal kempen, hanya dua mata di atas garis penyingkiran. – AFP

 

No votes yet