19 April 2019, Friday | 03:21am

ANIH Berhad Tawar Diskaun 10 Peratus

2019-02-07

PEMEGANG konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad menawarkan diskaun 10 peratus bagi kenderaan kelas satu sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, diskaun itu berkuat kuasa selama 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam Selasa depan.

Beliau berkata, tawaran diskaun itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang dilaksanakan sejak 2011 sebagai menghargai pengguna dan meraikan perayaan utama negara ini.

“Kami juga menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan sebagai rujukan pengguna yang hendak ke Pantai Timur bertujuan mengurangkan kesesakan dan pertembungan kenderaan pada masa sama di Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak.

“Kami menjangkakan waktu puncak trafik bermula jam 9 pagi hari ini dan petang 4 Februari sebelum kembali sesak pada 9 dan 10 Februari untuk perjalanan pulang ke ibu kota,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Sehubungan itu, Nik Fauzi menyarankan mereka yang ingin ke Kelantan dan Terengganu esok serta Ahad supaya menggunakan lebuh raya pada jam 6 hingga 10 pagi atau sekitar 5 petang hingga 8 malam.

Sementara, mereka yang menuju ke Pahang pada tarikh sama disarankan memulakan perjalanan antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang atau 7 petang sehingga 11 malam.

Bermula 8 hingga 10 Februari pula, pengguna dari Pahang dinasihatkan memulakan perjalanan dari jam 6 hingga 10 pagi atau bermula 7 petang hingga 10 malam, sementara mereka dari Terengganu disarankan memasuki lebuh raya bermula 8 hingga 11 pagi atau 8 hingga 10 malam.

Bagi tarikh sama, pengguna dari Kelantan digalakkan menggunakan lebuh raya bermula 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam.

“Kami juga menasihatkan pengguna untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet RFID mencukupi sebelum memulakan perjalanan kerana perkhidmatan tambah nilai di lorong tol ditutup jika trafik mulai padat,” katanya.

Katanya, pengguna boleh menambah nilai atau membeli kad itu di Pusat Khidmat Pelanggan di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak, Temerloh dan Kuantan atau di kios layan diri di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Temerloh dan Plaza Tol Gambang. – BERNAMA

 

Average: 5 (1 vote)