24 March 2019, Sunday | 09:45am

Aliran penumpang MAHB meningkat 5.1 peratus pada Februari

2019-03-13

KUALA LUMPUR: Rangkaian lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul (SGIA), Turki melaporkan pertumbuhan aliran trafik sebanyak 5.1 peratus kepada 10.6 juta penumpang pada Februari 2019 berbanding 10.1 juta penumpang bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu membabitkan aliran 8.14 juta penumpang di lapangan terbang domestik dan 2.49 juta penumpang di SGIA Istanbul.

MAHB berkata, pertumbuhan aliran penumpang domestik sebahagian besarnya disumbangkan semasa perayaan Tahun Baharu Cina dan kebebetulan dengan cuti sekolah selama seminggu.

“Aliran pesawat domestik pula mencatatkan peningkatan 13.9 peratus sepanjang tempoh cuti itu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

MAHB berkata, sektor antarabangsa mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus dengan aliran 5.1 juta penumpang pada Februari 2019 manakala sektor domestik berkembang 5.3 peratus dengan aliran 5.5 juta penumpang.

Katanya pertumbuhan aliran penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat 2.9 peratus kepada 4.8 juta pada Februari manakala 3.5 juta dicatatkan bagi sektor antarabangsa dan 1.3 juta bagi sektor domestik.

Sementara itu, Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) menyaksikan pertumbuhan 9.1 peratus tahun ke tahun kepada 3.3 juta aliran penumpang berbanding 3.1 juta aliran penumpang pada Februari 2018.

“Aliran trafik penumpang di SGIA berkembang 4.4 peratus kepada 2.49 juta penumpang.

“Bagi asas 12 bulan, keseluruhan rangkaian lapangan terbang MAHB berkembang 3.6 peratus dengan 134 juta aliran penumpang, yang tertinggi setakat ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Average: 5 (1 vote)

Tags: