18 February 2019, Monday | 01:14pm

Aksi Lelaki Tidur Ditonton Lebih 2.2 Juta Kali

2019-02-01

LONDON – Seorang lelaki menjadi popular gara-gara tertidur ketika membuat penstriman video langsung sewaktu bermain satu permainan atas talian menerusi platform aplikasi Twitch baru-baru ini.

Menurut laporan, seorang penonton sempat merakam aksi Jesse, 36, sedang tidur dan klip itu tular di internet serta ditonton lebih 2.2 juta kali.

Rakaman menunjukkan lelaki itu terlelap tanpa memadamkan kamera ketika membuat penstriman langsung dan seramai 213 penonton setia menunggu hingga Jesse bangun.

Sebilangan penonton mendakwa, mereka menunggu hampir 2 jam untuk melihat reaksi Jesse ketika bangun. Beberapa pengunjung lain meninggalkan komen meminta lelaki itu bangun kerana dia kelihatan seperti ‘sudah berhenti bernafas’ lalu menyebabkan ramai orang mentertawakannya.

Jesse kemudiannya bangun dan terkejut lalu memberi senyuman ke arah kamera sebaik menyedari aksi tidur itu ditonton ratusan pengguna Twitch. – Agensi

No votes yet