24 March 2019, Sunday | 09:51am

Ahmad Idham Dilantik CEO Baharu Finas

2019-03-14

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu berkuat kuasa sejak 11 Mac lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan rasmi sebentar tadi.

Jawatan itu akan disandang Ahmad Idham, 45, selama dua tahun bagi menggantikan tempat Shakib Ahmad Shakir yang bertindak selaku pemangku sejak empat bulan lalu.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pelantikan tersebut merupakan keputusan Lembaga Pengarah berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

“KKMM mengucapkan terima kasih kepada Shakib untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugas sebagai pemangku jawatan tersebut.

“Kementerian berharap pelantikan baharu ini dapat meningkatkan usaha Finas bagi membangunkan industri. Saya juga memohon ahli-ahli lembaga yang lain memberi kerjasama penuh kepada Ahmad Idham dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan,” ujarnya.

Pelantikan pengarah filem Jangan Pandang Belakang itu sekali gus menamatkan teka-teki siapa yang akan menerajui Finas kerana sebelum ini nama pelakon, Datuk Hans Isaac disenaraikan sebagai individu yang layak.

Ahmad Idham merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1991.

Beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun selain pernah menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara. – MyNewsHub

 

No votes yet