20 May 2019, Monday | 05:37am

Afisa cemerlang meskipun terlepas pingat gangsa

2019-05-13


 

PEMANAH muda negara, Nur Afisa Abdul Halil tetap berpuas hati dengan pencapaiannya meskipun terlepas peluang mengutip pingat pertama ketika tewas kepada pemain No. 4 dunia dari Taiwan, Tan Ya-Ting 6-2 pada penentuan gangsa acara compound individu di Kejohanan Memanah Piala Dunia Shanghai di China semalam.

 

Bagaimanapun, perjalanan Afisa ketika cuba melangkah ke pentas final dilihat agak cemerlang apabila berjaya menumbangkan pemain No. 2 dunia dari Korea, Chang Hye Jin dengan keputusan 6-4 di pusingan ketiga sebelum pemain ranking ke-34 dunia itu meneruskan kejutannya dengan menyingkirkan pemain Iran, Zahra Nemati 7-1 di pusi­ngan keempat.

 

Pemain berusia 20 tahun itu turut berjaya mara ke suku akhir selepas mengatasi pemain ranking No. 7 dunia, Meng Fanxu 6-5, namun tewas kepada pemanah ranking No. 3 dunia dari Korea Selatan, Kang Chae Young 6-0 di separuh akhir, sekali gus terlepas peluang ke final.

 

“Ini merupakan kali kedua saya berada di pentas final untuk perebutan pingat gangsa, tetapi kali ini agak berbeza kerana saya bersaing untuk acara individu manakala pada 2017 saya beraksi dalam acara berpasukan.

Keyakinan saya lebih kuat pada kali ini kerana saya pernah ada pengalaman beraksi di pentas final.

 

“Secara keseluruhannya saya sa­ngat berpuas hati dengan pencapaian saya. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya di sini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu pingat emas dimenangi oleh Chae Young selepas me­ngatasi pemanah Jepun, Tomomi Su­gimoto dengan keputusan 6-0.

 

Dalam pada itu, Afisa yang pernah meraih pingat emas dalam acara berpasukan di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur turut bertekad untuk membawa pengalaman tersebut ke temasya dwitahunan berkenaan di Manila, Filipina pada November tahun ini.

 

“Sudah pasti dengan pengalaman terbaik ini saya akan bekerja lebih keras menjelang temasya di Filina nanti,” ujarnya.

 

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2vRVav7

 

No votes yet