25 June 2019, Tuesday | 05:22pm

6 pemancing yang hilang di Pulau Pinang ditemui selamat

2019-02-12

NIBONG TEBAL: Enam pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing dari jeti nelayan Kampung Dato Keramat, di sini pagi semalam ditemui selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) petang ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata melalui maklumat yang diterima, bot yang dinaiki enam pemancing termasuk seorang tekong itu mengalami kerosakan pada gearbox hingga menyebabkan mereka terperangkap di tengah lautan.

“Selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan akhirnya pasukan penyelamat dari APMM berjaya mengesan kedudukan bot berkenaan.

“Semua pemancing berkenaan berada dalam keadaan selamat dan APMM kini sedang menunda bot mereka ke jeti Batu Maung,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), di sini, hari ini.

Semua pemancing itu ditemui kira-kira jam 4.30 petang dan dijangka akan tiba di jeti Batu Maung kira-kira jam 8 malam ini.

Enam pemancing berumur antara 30 hingga 49 tahun dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak jam 8 pagi semalam.

Mereka adalah Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, Mohd Azmil Abdul Rahman, 31, Mohd Faiz Ibrahim, 30, Lee Chee Sen, 49 Mohd Rajis Jamil, 35, dan Khairil Hafidzi Tajuddin, 31.

Sementara itu, rata-rata keluarga yang berada di pusat SAR di sini, melahirkan rasa syukur dan menangis kegembiraan sebaik menerima berita mengenai penemuan ahli keluarga mereka.

 

BHONLINE

No votes yet