11 December 2018, Tuesday | 02:58am

2,000 polis kawal tapak masjid Babri di India

2018-12-06

AYODHYA: Kira-kira 2,000 anggota polis India bersenjatakan cota bertugas di bandar bergolak di sini hari ini bagi menghalang sebarang pertembungan sempena ulang tahun pemusnahan sebuah masjid.

Fanatik Hindu merobohkan masjid Babri pada 1992, mencetuskan rusuhan di seluruh India yang menyebabkan ribuan terbunuh, majoritinya Islam dan masa depan tapak itu menjadi satu isu utama dalam politik India.

Berdiri di belakang penghadang besi kuning, polis hari ini dilihat memeriksa kenderaan dan menahan beberapa pemerhati untuk disoal dalam usaha mencegah sebarang keganasan.

Pengawal menara dan kamera keselamatan diletakkan di kawasan runtuhan masjid Babri dan sekitarnya. Tapak pertelingkahan itu dilindungi oleh pagar keluli tinggi.

Ramai penganut Hindu percaya bandar ini adalah tempat kelahiran dewa Ram dan masjid yang sudah berada di sana selama 460 tahun hanya dibina selepas pemusnahan sebuah kuil terdahulu.

Parti nasionalis Hindu dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi, Bharatiya Janata Party (BJP) yang berkuasa pada 2014 berikrar untuk membina kuil di tapak itu namun isu terbabit masih tergantung di mahkamah.

Modi, yang bertanding penggal kedua tahun depan, berdepan perasaan kecewa daripada penyokong tegarnya yang merasakan beliau tidak melakukan secukupnya untuk mencapai matlamat itu walaupun memiliki majoriti di Parlimen.

Menteri Besar Uttar Pradesh Yogi Adityanath, seorang sami lantang yang sekian lama berkempen untuk pembinaan kuil, juga mendedahkan rancangan membina patung gangsas terbesar dunia dewa Ram setinggi 221 meter.

Pada hari biasa, ribuan penganut Hindu mengunjungi kuil sementara yang dibina pada 1992, namun hari ini hanya segelintir dapat dilihat.

Sementara itu, kumpulan penganut Islam mengadakan upacara peringatan kecil mangsa yang maut pada 1992.

“Apa yang kami mahukan ialah perdamaian dan keharmonian. Muslim dan Hindu di Ayodhya sentiasa hidup dalam harmoni namun ahli politik yang mencetuskan kebencian untuk manfaat pilihan raya mereka.

“Masjid di kejiranan saya diserang ketika rusuhan pada 1992. Rumah kami dibakar dan kami berjaya menyelamatkan diri. Kami tidak mahu keganasan itu berulang lagi,” kata Mohammed Shahzad yang membuka kedai daging di bandar ini.

Seorang pelancong, Kalyani Ubhe, berkata: “Sebuah kuil perlu dibina di sini. Ia berkaitan kepercayaan dan fahaman Hindu. Kami berhak berdoa di tempat kelahiran Dewa Ram.” –AFP

 

Sumber: BHOnline

Average: 4 (1 vote)